Tulip? Hmmm… pernah tengok. Lavender? Hmmm… pun pernah. Wangi. Rose?
Semestinya aku tahu. Carnation? Bunga apa ya? Lily? Anemone? Amaryllis?
Daffodil? Carla lily? Gardenia? Stop! Yang ni aku tahu. Opss…untuk
pengetahuan saudari, Gardenia di sini ialah bunga, bukan roti Gardenia.
Ok,ok… Arghh…Gawat! Kenapa Madam nak aku
hafal nama bunga-bunga ni? Aku bukan tukang kebun kat rumah ni. Aku pengurus
rumah. Pengurus rumah? Bukan pembantu rumah? Yep! Pengurus rumah. Bukan
pembantu rumah. Mungkin bukan rumah, sebab rumah ni terlalu besar untuk
dipanggil rumah. Bukan banglo,Sebab rumah ni lebih besar daripada banglo. Rumah
ni lebih hampir kepada istana sebenarnya, tapi istana versi Eropah yang kecil
dan agak moden.
Agak pelik kerana penghuni tetap yang tinggal di sini hanya
seorang, dan yang selebihnya adalah pekerja-pekerja rumah ini, termasuklah
diriku. Tuan rumah ini ialah Madam Rosaline dan anaknya Mr. Daniel serta
menantu, Mrs. Daniel. Oh. Dan seorang lagi, cucu keluarga ini, Mr. Zachary Adam
Smith. Majikan- majikan aku hanya datang ke rumah ni pada setiap hujung minggu, kecuali Mr.
Zachary. Sepanjang dua bulan aku berada di sini, belum pernah aku bertemu
dengannya. Dan, penghuni tetap rumah ini ialah Syerry. Aku tidak tahu apakah
hubungan Syerry dengan majikan-majikan ku yang lain kerana setiap kali mereka
bertandang ke rumah ini, belum pernah sekali pun aku melihat mereka
berbual-bual dengan Syerry, malah kadang-kadang aku merasakan kehadiran Syerry
di rumah ini seolah-olah tidak disedari. Atau mungkin sengaja tidak disedari. Ada
banyak misteri di sebalik Syerry sebenarnya. Pada luarannya, Syerry adalah
seorang wanita sebaya mamaku. Majikan- majikan ku tidak pernah memberiku
apa-apa maklumat tentang Syerry. Pernah sekali aku bertanya kepada Madam tentang
siapa Syerry sebenarnya – itupun dengan suara yang perlahan- tapi apa yang ku
terima hanya dua baris ayat “mind your own business. No more questions about
her”.
Selepas peristiwa itu, aku tidak bercadang
untuk bertanya apa-apa perkara tentang Syerry kepada Madam, well...aku
juga tidak berani mengambil risiko untuk menjadi ‘penanam anggur’ pada bulan
pertama aku bekerja memandangkan ekonomi sekarang yang tidak menentu. Apa yang
aku tahu tentang Syerry ialah, dia mengalami kegagalan otak. Itu yang
diberitahu oleh Nani, jururawat yang menjaganya.Disebabkan itu jugalah Sherry
terpaksa duduk di atas kerusi rodanya sepanjang hari. Tapi bagiku, otak Syerry
tidak gagal berfungsi sepenuhnya, kerana dia boleh berdiri, berjalan, duduk,
walaupun memerlukan sedikit bantuan daripada orang lain. Cuma, matanya... hanya
memandang ke satu arah, dan wajahnya... hanya mempamerkan reaksi kosong, pucat
dan suram. Bagiku, Sherry terlalu misteri.
Oh, sebelum aku terlupa, majikan-majikan ku
semuanya pada anggapanku, termasuk Syerry adalah orang Melayu, kerana mereka
semua berwajah melayu, berkulit sawo matang. Kecuali Madam dan Mrs. Danielle. Mereka
berkulit putih cerah pada wajah tetapi tidak pada tubuh badan yang lain.
Hmmm... Krim pencerah?
Ketika aku baru mula berkerja di disini, aku
tertanya-tanya mengapa perlu menamakan diri dengan nama Mat Salleh sedangkan
mereka 99.9% pada firasatku merupakan orang Melayu, walaupun 70% daripada
bahasa komunikasi mereka merupakan bahasa English, London style. Eh, namaku
pun ala-ala Mat Salleh juga, tapi aku bukan Melayu tulin, tak macam
majikan-majikan ku. Margarate, salah seorang daripada pembantu rumah ini
memberitahu aku yang majikan-majikan kami baru setahun berpindah dari London ke
Malaysia setelah lebih 20 tahun menetap di sana. Margarate merupakan tukang
masak di sini, berbangsa Fillipina, beragama
Islam, berusia lewat 40-an
dan sudah beberapa tahun berkhidmat dengan mereka.Menurut Margarate,
majikan-majikan kami hanya pulang ke Malaysia untuk urusan perniagaan beberapa
kali setahun. Patutlah masih boleh berbahasa Melayu walaupun dengan slanga English
yang amat lucu bagiku. Cuma kepulangan mereka pada kali ini seperti untuk
selamanya. Bagus. Kerana itu bermakna, aku tidak perlu tergesa-gesa mencari
pekerjaan lain.
Bagaimana aku boleh menjadi pembantu rumah?
Ehem. Pengurus rumah. Hmmm... semuanya bermula pada dua bulan yang lepas...
No comments:
Post a Comment