Thursday 21 August 2014

Octavia untuk Iris Bab 8

BAB 8
Jam sudah menunjukkan pukul 12:15 tengahari sewaktu aku sampai di Catriona. Sebelum aku bertolak balik ke sini, aku sempat membelikan penyanggul rambut untuk Syerry. Aku pernah terlihat bingkai-bingkai gambar milik Syerry dalam biliknya. Semua gambar Syerry di dalam bingkai-bingkai gambar itu mempamerkan wajah Syerry yang ceria dengan rambutnya yang kemas bersanggul. Memandangkan semua kerjaku untuk hari ini dan besok sudah kuselesaikan, aku terus menuju ke bilik Syerry. Bosan rasanya tidak mempunyai sebarang kerja untuk dilakukan. Nani tidak ada bersama Syerry ketika aku masuk ke biliknya.
“Assalamualaikum, Syerry. Saya datang lagi, nak berbual-bual dengan Syerry.” Senyap.
“Saya belikan Syerry sanggul rambut. Tengok. Cantik tak? Nak saya sanggulkan rambut Syerry?” aku tidak menunggu sebarang reaksi daripada Syerry untuk mengetahui samada dia mahu rambutnya disanggul atau tidak. Aku menyikat rambut Syerry yang lurus.
“Cantik rambut Syerry. Syerry cantik, kalau sanggul rambut kemas-kemas macam dalam gambar-gambar Syerry, lagi cantik.” Aku mula menyanggul rambutnya seperti dalam gambar yang kulihat. Selesai. Aku beralih ke hadapan Syerry. Syerry memang cantik, walaupun usianya lebih tua daripada usianya ketika gambar-gambar tersebut diambil. Aku tersenyum melihat Syerry. Wajahnya kelihatan lebih hidup setelah rambutnya didandan kemas. Aku mengambil sebuah cermin kecil lalu kuhadapkan ke wajah Syerry.
“Cantik kan? Nanti, hari-hari kita sanggul rambut Syerry macam ni ye?” Mata Syerry tetap tidak memandang wajahnya di cermin itu. Pandangannya setia ke arah tasik buatan yang cantik itu. Aku berpusing ke belakang untuk menyimpan cermin kecil itu ke tempatnya. Aku terkejut. Mr. Smith sedang berdiri bersandar di muka pintu bilik Syerry sambil berpeluk tubuh dan merenungku.
“Err, good afternoon Mr. Smith.” Spontan aku mengucapkan kata-kata itu kepada Mr. Smith. Dalam hatiku, hanya Allah yang tahu betapa hebatnya kejutan yang hadir di depan mataku ketika ini. Mr. Smith hanya menganggukkan kepalanya sambil melangkah masuk dan menuju ke arah Syerry. Dia duduk di atas sebuah kerusi yang memang tersedia di hadapan Syerry sambil menggenggam tangan Syerry. Terdetik di hatiku, apakah hubungan antara Mr. Smith dan Syerry?
 Ketika ini, aku dapat melihat dengan jelas wajah Mr. Smith. Berkulit cerah, tetapi tidak terlalu kemerah-merahan seperti mana warna kulit ‘Mat Salleh’ yang biasa ku lihat di kaca televisyen. Rambutnya beralun, sedikit pendek dan berwarna sedikit perang, manakala wajahnya pula seperti mempunyai sedikit ciri-ciri wajah Asia walaupun wajah Mat Sallehnya lebih dominan. Usianya kuanggarkan dalam lingkungan awal 30-an. Mr. Smith hanya duduk tanpa bersuara walau sepatah pun.
Aku berkira-kira hendak beredar daripada bilik Syerry memandangkan kehadiran Mr. Smith di sini. Aku cuma selangkah sahaja lagi untuk berada di luar bilik Syerry dan tiba-tiba aku terdengar Mr. Smith bersuara, “sepanjang saya berada di sini, belum pernah saya melihat orang lain melayan Syerry seperti ini. Awak yang pertama.” Aku terkejut. Mr. Smith berbahasa Melayu! Bahasa Melayunya sungguh lancar, tanpa ada sedikitpun slanga English pada setiap pertuturannya. Kejutan kali kedua ini menyebabkan aku berpaling secara spontan ke arah Mr. Smith. Barangkali juga mahu memastikan yang aku tidak bermimpi. “ Terima kasih” sambungnya lagi.
Nampaknya aku tidak bermimpi. Mr. Smith bercakap tanpa memandangku. Aku memikirkan apakah ayat yang sesuai bagi menterjemahkan maksud no problem kedalam bahasa Melayu. Takkan dia cakap Melayu, kau nak balas bahasa London. Monologku di dalam hati.
 “Takde masalah.” Akhirnya ayat ini yang terkeluar. Mr. Smith mengangguk lagi. Senyap.
“Err, saya minta maaf atas kelakuan saya terhadap Mr. Smith hari tu. Maafkan saya?” Wah! Akhirnya terkeluar juga ungkapan maaf dari mulutmu Natasya! Mr. Smith hanya diam seolah-olah tidak mendengar permintaan maafku itu. Aku menunggu selama beberapa ketika. Manalah tahu ada balasan daripada Mr. Smith, tetapi hampa, dia masih berdiam diri dengan kedudukannya yang tetap seperti tadi.
Aku berpaling semula ke muka pintu, berkira-kira untuk menyambung langkah beredar ke dapur. Perutku sudah berkeroncong meminta diisi. Belum sempat aku melangkah, suara Mr. Smith kedengaran lagi.
 “ Mawar putih dan kad merah haritu... terima kasih.” Aku memalingkan sedikit badanku untuk melihat Mr. Smith. Kali ini dia tidak bercakap sambil memandang Syerry, tetapi, dia memandangku sambil bibirnya tercalit sedikit senyuman yang membuahkan lesung pipit dikedua belah pipinya.
Aku hanya mengangguk. Juga sambil tersenyum. Serentak dengan itu, Mr. Smith kembali memandang Syerry. Aku meneruskan niatku hendak ke dapur. Alhamdulillah, kali ini tidak ada sebarang halangan daripada Mr. Smith. Sepanjang perjalanan aku ke dapur, bibirku tidak lekang daripada senyuman. Aku sendiri tidak tahu apakah yang menyebabkan aku tersenyum. Adakah kerana kemaafan yang kuterima daripada Mr. Smith, ataupun pertemuan kami sebentar tadi yang menghadirkan sedikit kelucuan dalam hatiku. Apa yang lucu sangat tu? Entahlah. Tapi, perasaan lucu yang kurasai tidak dapat menghilangkan teka teki dalam hatiku tentang apakah hubungan antara Mr. Smith dan Syerry. Adakah mereka pasangan kekasih? Memang Syerry lebih tua daripada Mr. Smith, tetapi tidak mustahilkan mereka adalah pasangan kekasih? Lagipun, daripada cara Mr. Smith memandang Syerry tadi, aku dapat merasakan seperti ada aura kasih yang terpancar dari mata Mr. Smith untuk Syerry. Aura la pula...

Margarate sedang menyediakan makanan tengahari ketika aku tiba di dapur. Aku tidak menunggu untuk dipelawa, aku terus duduk di meja makan yang terdapat di ruang dapur. Makanan untuk pekerja-pekerja rumah ini sudah tersedia di atas meja.
 “Saya makan dulu ya Margarate? Boleh tak? Saya dah lapar ni.” Tanpa segan silu aku mempelawa diriku makan dengan ayat ala-ala meminta kebenaran untuk makan daripada Margarate.
“Makanlah, kan sudah disediakan atas meja tu,”
“Margarate tak makan sekali? Jomlah makan sekali.” Aku menyenduk nasi ke pingganku sambil mempelawa Margarate untuk menyertaiku makan.
“Tak apa, i’m on diet.” Balas Margarate sambil tergelak kecil. Aku tahu dia hanya bergurau.
“Apalah Margarate ni, body cantik pun nak diet.” Margarate duduk di hadapanku sambil menghulurkan segelas air kosong kepadaku.
“Saya sudah makan tadi, with Nani, kamu yang lambat turun makan. Where have you been?” Aku menghabiskan kunyahan pertamaku sebelum menjawab soalan Margarate.
Dating dengan Syerry dan Mr. Smith.” Giliran aku pula tergelak melihat Margarate membeliakkan matanya.
“Taklah, saya dalam bilik Syerry tadi, berbual-bual dengan dia, lepastu, Mr. Smith masuk, saya keluar.”
“Macam tu saja? Dia masuk, kamu keluar? Dia tidak cakap apa-apa sama kamu?” Aku mengangkat kepalaku memandang Margarate. Macam tahu-tahu je Mr. Smith ada cakap sikit kat aku.
“Ada, dia cakap, terima kasih bagi bunga dan kad haritu.” Aku tidak menceritakan tentang perbualan sebelum itu kepada Margarate, kerana perbualan itu lebih kepada memuji diriku sendiri. Tanyalah pasal Mr. Smith dan Syerry, kot-kot Margarate tahu.
“Mmm, Margarate, saya tanya sikit boleh tak?”
“ Apa dia? Tanyalah.” Aku berusaha untuk menjadikan nada pertanyaanku ini tidak seperti nada seorang penyibuk.
“Emm, Mr. Smith baik dengan Syerry kan? Diorang bersaudara ke?” Margarate terdiam mendengar pertanyaanku. Agak lama dia mendiamkan diri sebelum dia menjawab soalanku.
“ Entahlah... sebenarnya saya pun tertanya-tanya apa hubungan mereka berdua. Mr. Smith tidak pernah bicara apa-apa tentang Syerry. Madam pula, usahkan mahu bicara, menganggap Syerry wujud pun seperti tidak pernah.” Giliran aku pula terdiam. Misteri sungguh identiti Syerry.
“Margarate dah berapa lama kerja dengan keluarga ni?” Margarate memandang dinding dapur di hadapannya sambil mencongak menggunakan jari-jarinya.
“Kurang lebih almost five years.” Pendek jawapannya.
“Syerry jadi macamtu dah berapa lama ya? Masa Margarate dah mula kerja sini, Syerry masih sihat tak?” Aku masih sangat berminat untuk mengetahui hal tentang Syerry.
“Masa mula-mula saya bekerja dengan keluarga ini, kami masih di London. Saya teringat bulan-bulan awal saya bersama mereka, Syerry masih sihat. Tapi, saya tidak punya kesempatan untuk cari tahu tentang hal-hal keluarga ini. Waktu itu, keluarga Madam belum ada bersama-sama keluarga Mr. Smith lagi.” Cerita Margarate semakin menarik perhatianku.
“Keluarga Madam belum ada? Maksud Margarate, keluarga Madam bukan keluarga asal Mr. Smith?” Margarate mengangguk.
“Keluarga Madam cuma masuk dalam keluarga Mr. Smith selepas sebulan Syerry mandapat kecelakaan.”
“ Kecelakaan apa, accident?” Aku cuba meneka. Margarate menggeleng-gelengkan kepalanya. “ Bukan accident, bukan ditabrak mobil atau apa-apa kecelakaan di jalan. Syerry dipukul orang. But, no one knew what was the reasonorang itu mahu memukul Syerry.” Entah kenapa suara Margarate menjadi semakin perlahan ketika menceritakan hal ini. 
“Teruk ke Syerry kena pukul?”Soalku lagi.
I don’t know, tidak ada siapapun yang mahu bercerita perkara itu, semua pembantu rumah disuruh tutup mulut. Tapi, apa yang saya lihat, sewaktu Syerry dibawa pulang dari rumah sakit, kepalanya berbalut, kaki dan tangannya juga berbalut. Patah barangkali.” Simpatiku terhadap Syerry semakin bertambah setelah mendengar cerita daripada Margarate.
“Emm, siapa yang suruh tutup mulut?” Aku masih lagi rancak bertanya.
“ Mr. Smith.”
“Mr. Smith ni?” soalku sambil jari telunjukku menunjuk ke lantai. Margarate menggeleng sekali. “ Not this one. Mr. Smith tuan besar. Ayah Mr. Smith ini.” Jawab Margarate. Aku ingin bertanya lagi tetapi Margarate sudah bangun dari tempat duduknya.
“Saya mahu buatkan teh suam untuk Mr. Smith. Sudah sampai waktu untuk Mr. Smith makan.” Aku mengeluh kecewa di dalam hati. Takpelah Tasya, esok-esok kau boleh tanya lagi. Aku turut bangun daripada tempat dudukku memandangkan pingganku juga sudah kosong. Hmm... Siapa Syerry sebenarnya? Apa hubungannya dengan keluarga Mr. Smith dan keluarga Madam? Identiti Syerry betul-betul mengundang tanda tanya dalam hatiku.

No comments:

Post a Comment