Thursday 21 August 2014

Octavia untuk Iris Bab 11

BAB 11
Hari Isnin, aku memulakan tugasku seperti biasa pada awal pagi selepas bersarapan. Awal pagi tadi, Margarate memberitahuku perbelanjaan dapur pada minggu ini perlu ditambah sedikit kerana ada beberapa bahan makanan yang telah habis dan aku juga perlu menyediakan perbelanjaan untuk membeli beberapa barangan dapur yang perlu diganti. Pak Rahim juga perlukan beberapa jenis benih untuk kebun-kebun bunga yang dijaganya. Murni, pembantu rumah ini juga memberitahu aku ada beberapa barangan yang perlu dibeli. Kesemua permintaan mereka telah aku rekodkan ke dalam rekod belanjawan untuk Catriona pada minggu ini.
Aku perlu ke bandar terdekat untuk mengeluarkan wang di bank daripada akaun yang telah disediakan untuk kegunaan rumah ini. Selepas itu, aku perlu membeli menguruskan bayaran bil-bil yang berkenaan. Balik ke Catriona pula, aku perlu memeriksa setiap kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja rumah ini dan dimasukkan ke dalam rekod prestasi mereka. Nampak seperti perkara remeh, tetapi itulah yang dikehendaki oleh Madam dan Mrs. Danielle. Aku selesai menguruskan semua kerja itu sebelum menjelang Asar. Rumah ini terlalu besar untuk diperiksa satu persatu.
Aku terduduk keletihan di atas kerusi di meja bilik bacaan. Fail-fail yang bertimbun di hadapanku kubiarkan tidak bersusun. kesemuanya fail rekod prestasi pekerja-pekerja di Catriona, termasuk sebuah lagi fail yang memuatkan rekod belanjawan untuk Catriona. Aku memejamkan mata untuk merehatkan mata yang keletihan. Entah berapa lama aku memejamkan mata, akhirnya tanpa kusedari, aku terlelap. Aku hanya tersedar semula setelah jam di dinding bilik bacaan ini berbunyi menandakan sudah pukul 6 petang. Allah, aku tertidur! Nasib baik aku masih cuti solat. Aku menegakkan dudukku, bercadang untuk menyusun semula fail-fail rekod ini ke rak fail. Niatku terbantut. Di hadapanku sekarang, di atas meja, ada secawan teh O suam beraroma pudina bersama sekeping nota di bawahnya.

Teh O panas daun pudina (mungkin dah suam bila awak dah bangun), untuk awak, saya belanja...

Aku terkedu seketika. Siapa yang baik hati sangat buatkan air untuk aku? Entah-entah ada racun tak? Aku menghidu teh O suam di hadapanku. Siapa pula yang nak racun kau, buruk sangka je, tu lah, banyak sangat tengok cerita kat TV. Aku menepuk kepala mendengar monolog dalam hatiku. Minum je lah...
Aku menghirup teh O daun pudina itu dengan perlahan-lahan. Inilah kali pertama aku meminumnya. Mmm...segarnya... Aku menghabiskan sisa-sisa teh yang tinggal lalu mengemaskan meja dan membawa cawan teh berukiran antik ini ke dapur. Tiada sesiapa di dapur ketika aku tiba di sana. Niatku untuk bertanya kepada Margarate tentang misteri teh O daun pudina tidak kesampaian. Ku lihat makanan malam sudah tersedia di atas meja. Mungkin Margarate dan Bibah sedang sibuk menghidangkan makan malam untuk Mr. Smith. Tiba-tiba perutku berbunyi. Ahh, takkan bangun-bangun tidur terus makan, mandi dululah. Aku melupakan terus hasratku untuk menyiasat tentang misteri teh O daun pudina itu, yang penting sekarang, naik bersihkan diri.


No comments:

Post a Comment