BAB 4
“Natasya!” Aku tersentak apabila mendengar namaku
dipanggil. Agak lama juga aku berdiri di hadapan tingkap mahligai Catriona ini
mengelamun mengimbas kembali saat pertama aku menjejakkan kaki ke rumah ini.
“Ya Madam. Sekejap.” Balasku lembut tapi jelas.
Aku bergegas menuju ke ruang hadapan. Madam Rosaline
berserta anak dan menantunya sedang bersiap-siap hendak keluar. Masing-masing
sedang menjinjing beg pakaian yang besar.
“Natasya, kami semua nak keluar negeri. Seminggu. Mungkin
dua minggu. Mungkin lebih. Jaga rumah, dan ingat apa yang I suruh you buat.
Bunga-bunga tu susun ikut nama yang I dah bagi dalam list tu. Faham?”
Madam Rosaline bercakap tanpa memandangku.
“Ya Madam. Faham” Balasku sambil tersenyum, walaupun
kutahu senyumanku tidak sampai ke mata mereka.Tapi, bunga-bunga tu semua wujud ke kat Malaysia? Sejak akhir-akhir
ini, kesemua majikanku semakin kerap berbahasa Melayu. Lebih-lebih lagi ketika
mereka sedang bercakap denganku. Mungkin juga kerana aku menggunakan bahasa
Melayu ketika berkomunikasi dengan mereka. Cuma kadang-kadang sahaja aku
berbahasa English bercampur Melayu, iaitu pada waktu Margarate ada bersama-sama
denganku menerima arahan daripada majikan-majikan kami. Margarate faham bahasa
Melayu kerana dia sudah lama berkhidmat dengan majikan-majikan kami. Selalunya
dia akan menggunakan bahasa English bercampur bahasa Melayu untuk berkomunikasi
dengan kami semua.
“Err. Madam, boleh saya tahu, Madam sekeluarga nak ke
mana? Bukan apa, kalau nanti kawan-kawan Madam datang, senang saya nak bagitahu
diorang.” Madam Rosaline berhenti mengira beg-beg yang berada di ruang tengah
mahligai ini. Ibu jari dan jari telunjuknya bermain di dagunya yang agak
berlapis sambil matanya merenung entah ke mana.
“Well... Untuk minggu ni, Paris. But,
minggu depan, maybe London, hmm...Australia pun macam ok. U just tell
siapa-siapa yang cari we all, kami
ke Paris. Jangan bagitahu selain itu ok, kalau Jojie tahu we are going to London,
susah. Nanti dia suruh singgah Harrods beli macam-macam untuk dia. I bukan cop duit. U know Jojie, Natasya? She never bayar balik
apa-apa yang I belikan. Macam I
cakap tadi. I bukan cop duit. I memang kaya tapi duit tu untuk I buat apa I nak habiskan duit I yang penat-penat I
dapat.” Wau. Madam Rosaline. Berleter? Aku hanya tersenyum mendengar rungutan
Madam. Geli hati mendengar setiap bait ayat yang dia ucapkan dalam bahasa
Melayu tetapi dengan slanga English yang amat melucukan.
Sayup-sayup kedengaran suara Mr. Daniel menyuruh pemandu
keluarga ini yang dipanggil Judin untuk memasukkan semua beg mereka ke dalam
bonet kereta jenis Mercedez Benz.
“We should change the colour. Macam dah buruk.
Malu orang lain tengok.” Suara Mrs.Danielle pula kedengaran. Kukira dia sedang
bercakap tentang warna kereta Mercedez Benz itu.
“Can we just change the car? Tukar kereta lagi
senang. I dah bosanlah naik Merce ni.” Kali ini Mrs. Danielle
mencadangkan agar mereka menukar kereta pula. Tiada balasan yang kudengar
daripada Mr. Daniel.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi keempat-empat pintu
kereta ditutup berserta bunyi enjin kereta dihidupkan.
“Natasya!” Suara Madam memanggilku. Aku hanya menjengukkan
kepalaku keluar daripada tingkap Catriona ini.
“Ya Madam!”
“ Ingat pesanan I. Jangan bagitahu Jojie kita ke
London. Jaga rumah. Bye...” Madam melambaikan tangannya kepadaku. Aku membalas
lambaian Madam.
Setelah pasti yang mereka sudah berada jauh
dari mahligai Catriona, aku melangkah masuk ke ruang tamu. Duduk di atas sofa,
menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tak ku sangka majikan-majikanku selucu ini.
Masing-Masing dengan karenah yang pelbagai. Aku memejamkan mataku seketika
sambil kepalaku menyandar ke sofa. Aduh...letihnya. sejak awal pagi tadi aku
‘didera’ oleh Madam dan Mrs. Danielle. Masing-masing sibuk meminta pendapat aku tentang pakaian
yang patut mereka pakai pada hari ini dan baju-baju yang perlu mereka bawa
melancong untuk beberapa minggu ini. “ Dia ada taste yang baik untuk fesyen
modern.” Ujar Mrs. Danielle apabila ditanya oleh Madam mengapa dia memanggilku
seawal subuh ke biliknya. Hasilnya, selama hampir tiga jam aku didera oleh
mereka berdua. Selang lima minit aku terpaksa berkejar ke bilik Madam dan Mrs.
Danielle yang jarak antara keduanya ialah selang empat buah bilik yang salah
satunya dihuni oleh Syerry. Lebih-lebih lagi Madam. Dia langsung tidak memberi
peluang kepadaku untuk berada lama di dalam bilik Mrs. Danielle. Ketika
berkejaran itu, sempat juga aku melirikkan mataku sekejap melihat keadaan Syerry
di dalam biliknya. Tidak sukar bagiku untuk mengintai keadaannya memandangkan
pintu biliknya yang sentiasa terbuka luas. Seperti hari-hari sebelumnya, Syerry
hanya memandang jauh ke luar tingkap tanpa ada arah yang tertentu. Entah apa
yang berada dalam fikiran Syerry ketika itu. Ingatan tentang Syerry membuatkan
aku membuka mataku yang terpejam. Selama aku menjejakkan kaki ke rumah ini, belum
pernah sekalipun aku melawat Syerry di biliknya. Hidupku disibukkan oleh
karenah majikan-majikanku yang pelbagai.
Tanpa ragu-ragu, aku mengatur langkah menuju
ke tingkat atas. Ke bilik Syerry. Entah kenapa aku agak teruja dengan rancangan
melawat Syerry di biliknya. Pintu bilik Syerry yang terbuka sedikit berkeriut
apabila aku cuba untuk membukanya dengan lebih luas. Seperti biasa, Syerry
tidak memperdulikan keadaan sekelilingnya. Dia masih terus memandang ke luar
tingkap. Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Wajahnya kelihatan pucat,
rambutnya tidak terurus.
“Err, Syerry, hai,” aku memulakan perbualan
dengan teragak-agak, walaupun sebenarnya aku tahu yang Syerry tidak akan
memberi sebarang respon terhadap keramahanku. Tapi, tidak salah mencuba kan?
Manalah tahu keramahankuboleh membawa keajaiban. Cheh perasan! Aku duduk
melutut di hadapan Syerry sambil memegang kedua-dua belah tangannya yang berada
di atas pehanya.
“Hai Syerry. Saya Tasya. Pekerja baru kat
sini. Tapi, taklah baru sangat. Dah dua bulan. Sorry, sebelumni saya
takde kesempatan berkenalan dengan Syerry.” Aku memandang tepat ke matanya
ketika melafazkan kata-kata itu. Tiada sebarang reaksi. Aku tahu, mungkin
sampai bila-bila pun Syerry tidak akan membalas setiap perbualan yang ditujukan
kepadanya. Tapi, entah mengapa, aku merasakan satu ketenangan berbual-bual
dengan Syerry. Walaupun tanpa sebarang reaksi daripadanya. Mungkin kerana
wajahnya yang jernih menghadirkan ketenangan itu. Mataku meliar melihat keadaan
biliknya. Suram, walaupun kemas dan bersih. Keadaan biliknya sama seperti
Syerry, tiada sebarang keceriaan dan kelihatan tidak ‘bernyawa’.
“Kasihan Syerry. Syerry asyik terperap duduk
di dalam bilikni, Syerry nak keluar tak? Saya boleh bawakan. Kita jalan-jalan
kat luar ye? Syerry suka tengok pemandangan kat luar kan?” Entah apa yang
membuatkan idea untuk membawa Syerry keluar daripada rumah ini datang ke
fikiranku. Lantaklah. Lagipun, sepanjang dua bulan aku berada di sini, belum
pernah sekali pun aku lihat Syerry keluar dari rumah ini. Mujur Syerry tidak
duduk membatu apabila aku cuba mengangkat sedikit bahunya untuk membuatkannya
berdiri.
“Kita keluar ye?” Ujarku lembut sambil
memimpinnya keluar bilik. Syerry menuruti
setiap langkahku sambil dipimpin olehku.
Margarate sedang berbual-bual dengan Pak
Rahim, tukang kebun, di halaman Catriona ketika kami tiba di situ. Ku lihat
sedikit riak terkejut pada wajah Margarate dan Pak Rahim apabila kami menghampiri
mereka. Mungkin terkejut kerana belum pernah ada sesiapapun yang berani membawa
Syerry keluar dari tempat ‘pertapaannya’
itu. Syerry kududukkan di atas bangku kayu berukiran antik yang terletak
berhampiran dengan pintu masuk Catriona.
“Pak Rahim, Margarate, sembang apa tu? Rancak
nampak.” Aku memulakan pertanyaan untuk menghilangkan riak terkejut pada wajah
mereka berdua.
“Oh, Margarate ni ha, tanya pakcik ada ke tak
labu masak kat kebun belakang nu.” Seperti baru tersedar dari mimpi, Pak Rahim
menjawab pertanyaanku.
“Labu masak? Awak nak masak labu ke Margarate?
Tak pernah pun saya nampak awak masak Labu? Mengidam ye?” Usik ku sambil
mencuit bahunya.
“Bukanlah, itu, oh, I forgot to tell you,
Mr. Smith mau balik ini malam, selalu ujung-ujung bulan tanggal 25hb Mr. Smith
balik. Dia selalu suruh masak kek labu.” Margarate menjawab dengan bahasa
Melayu yang agak baik.
Sebelum berkhidmat dengan keluarga ini,
Margarate pernah berkhidmat di kedutaan Indonesia di England, mungkin sebab itu
bahasa Melayu yang dia gunakan ada sedikit bunyi Melayu Indonesia. Aku kagum
dengan Margarate sebenarnya, dia berbangsa Filipina, tapi otaknya cerdas
menguasai bahasa-bahasa lain. Nampaknya aku bakal bertemu dengan Mr. Smith,
agaknya bagaimana wajah majikanku yang ini, mungkin bermata biru, berambut
perang, tinggi, berkulit cerah kemerah-merahan, dan bercakap dalam bahasa
‘London’.
Menurut Margarate, Mr. Smith merupakan Mat Salleh
asli. Hairan aku, macam mana pula Mat Salleh asli boleh tersesat masuk dalam
keluarga Mat Salleh celup ini? Adakah
dia secerewet majikan-majikanku yang lain? Hmm...Semoga dia tidak menyusahkan
hidupku yang baru hendak selesa dengan pemergian Madam anak beranak ke luar
negara.
Tiba-tiba Syerry berdiri, dan masuk ke dalam
rumah. Eh, pandai pula dia masuk ke rumah
sendiri tanpa disuruh. Aku meninggalkan Pak Rahim dan Margarate di luar
Catriona dan bergegas masuk ke dalam rumah menuruti langkah Syerry. Mana pula dia nak pergi? Syerry menuju
ke arah dapur dan terus duduk di meja kecil yang terletak di ruang memasak. Aku
menggaru-garu kepala.
“Syerry nak apa ya?” Aku kebingungan melihat
kelakuan Syerry. Kedengaran bunyi tapak kaki bergegas ke arah kami di dapur.
Rupa-rupanya Margarate.
“My God! I forgot! Ini masa untuk
Syerry makan.” Margarate menyediakan makanan Syerry dengan cekap dan pantas.
Aku hanya melihat sahaja Margarate menyediakan
makanan Syerry. Aku kagum dengan Syerry, walaupun aku difahamkan bahawa Syerry
mengalami kerosakan otak, tapi ada sesetengah perkara yang dia masih boleh
lakukan sendiri. Kadang-kadang aku hairan, betulkah Syerry mengalami kerosakan
otak? Margarate menyuapkan bubur ke dalam mulut Syerry. Mata Syerry hanya
melihat keluar tingkap seperti selalu.
“Selalu bila Nani tidak ada, Syerry turun ke
bawah kalau lapar.” Margarate menerangkan kepadaku sambil tangannya setia
menyuap makanan ke mulut Syerry. Aku tidak perasan perkara ini sebelum ini.
Mungkin kerana terlalu sibuk menguruskan kehidupan majikan-majikanku. Aku
tersenyum. Tahu pula Syerry ni minta makan bila lapar.
No comments:
Post a Comment