Thursday 21 August 2014

Octavia untuk Iris Bab 14

BAB 14
Aku terus menuju ke bilikku setelah aku tiba di Catriona. Keletihan yang menjalar di seluruh tubuhku membuatkan aku terbaring di atas katil. Ah, sudah pukul 11 malam. Mana ada anak dara yang baik-baik keluar rumah, balik pukul 11 malam macam ni. Takpe, aku keluar bukan pergi enjoy. Aku keluar sebab nak uruskan benda-benda penting. Lagipun, Catriona ni jauh sangat, sebabtu aku sampai rumah lewat. Aku bermonolog di dalam hati.
 Keadaan di Catriona ketika aku tiba tadi sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi muzik yang lembut dari dalam bilik bacaan yang pintunya agak terbuka sedikit. Ku kira, itu tentu Mr. Smith, sedang menyelesaikan kerja-kerjanya. Aku menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diriku. Aku hanya mengambil masa yang sedikit untuk mandi memandangkan cuaca di Cameron Highland yang sejuk. Aku memakai baju tidur pijama berwarna kuning lembut pemberian mama sebelum dia berlepas ke London. Baju pijama ini kupasangkan dengan sweater kain kapas yang agak tebal, juga berwarna kuning lembut.
 Aku cuba untuk memejamkan mataku namun gagal. Terlalu banyak yang berlegar-legar di fikiranku. Tentang daddy, mama, masa depanku, Syerry, Mr. Smith... kenapa pula aku perlu memikirkan tentang Mr. Smith? Aku akui, sejak akhir-akhir ini, nama Mr. Smith kerap kali menjengah mindaku. Kenapa ya? Hmm...mungkin kerana Mr. Smith juga punya aura misteri, sama seperti Syerry. Syerry dan Mr. Smith...kedua-duanya punya aura yang cukup misteri bagiku. Mr. Smith punya perwatakan yang sukar diramal. Tidak banyak yang kutahu tentang diri Mr. Smith. Apa yang ku tahu hanyalah apa yang kulihat setakat ini. Seorang ‘Mat Salleh’ yang pandai berbahasa Melayu, kelihatan amat suka menyendiri dan menyayangi Syerry.
Apa sebenarnya hubungan Mr. Smith dengan Syerry ya? Persoalan ini menggerakkan tanganku membuka semula helaian diari milik Sarimah. Mungkin ada jawapan kepada persoalan-persoalanku. Mungkin saja Sarimah itu adalah Syerry. Ya, Sarimah...Syerry, dua nama yang berbeza, tapi mungkin pemiliknya adalah orang yang sama. Aku membuat kesimpulan ini berdasarkan apa yang Margarate ceritakan kepadaku pagi tadi sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur. Menurut Margarate, meja solek itu dibuat khas untuk Syerry dan memang sudah menjadi milik Syerry sejak dia masih berada di London lagi. Siapa lagi yang akan menyimpan diari ini di dalam laci meja solek milik Syerry kalau bukan tuannya sendiri, iaitu Syerry.
Aku membuka helaian kedua pada diari itu. Seperti helaian yang pertama ku baca, tidak ada sebarang tarikh yang menunjukkan bila tulisan ini dinukilkan. Seperti biasa, aku membaca kisah di dalam diari ini dengan suara yang perlahan.
Hari ini, aku sudah tidak tahan lagi. Bapak seolah-olah tidak menyayangiku. Aku tidak sedar entah bila kakiku berlari meninggalkan rumah setelah berhari-hari dikurung oleh bapak. Apa yang ada bersamaku hanyalah buku hitam ini. Satu-satunya tempat kuluahkan segala lara hatiku. Tuhan... Bapak sungguh zalim, kenapa memaksa aku berkahwin dengan anak Tuan Haji Hitam. Aku tidak suka.
Sampai di sini, aku menghentikan seketika bacaanku. Kisah yang satu ini seolah-olah sama dengan aku. Cuma bezanya, aku belum sampai ke tahap dipaksa. Daddy cuma memujukku agar bersetuju berkahwin dengan anak temannya. Kata daddy, dia hanya mahukan yang terbaik untukku. Tapi, aku tahu, sebenarnya, daddy mahukan publisiti perkahwinan itu, agar manusia-manusia korporat di luar sana tahu bahawa daddy punya hubungan yang kukuh dengan seorang ahli perniagaan yang disegani ramai. Daddy cuma mahu menjaga kepentingan perniagaannya. Tapi aku membantah dan menolak sekeras-kerasnya. Penolakan itulah yang membawaku lari jauh ke Cameron Highland. Aku meneruskan bacaanku.
Anak Tuan Haji Hitam juga sama seperti abang Daim. Dia pernah mengintaiku mandi, dia pernah cuba melakukan perkara tidak elok kepadaku sewaktu aku menghantar makanan ke rumahnya. Mujur aku dapat lepaskan diri. Sempat juga aku hadiahkan segaris parut pada wajahnya menggunakan serpihan kaca gelas yang pecah ketika aku bergelut melepaskan diri. Mungkin kerana mahu membalas dendam, dia mahu menikahiku, agar dia boleh menyeksaku kelak. Aku tidak tahu ke mana lagi aku mahu mengadu. Aku tidak sedar langkah kakiku membawa aku ke rumah agam ini. Sudah tengah malam dan aku terjelopok di muka pintu rumah agam ini. Aku penat, terlalu penat melarikan diri. Samar-samarku lihat ada seorang wanita jelita membuka pintu dan menjerit melihatku di depan pintu. Selepas itu, aku tidak ingat apa yang berlaku. Aku hanya tersedar semula pada hari ini, pagi ini, di atas katil dengan balutan pada kepala dan tangan kananku. Mujur aku menulis menggunakan tangan kiri. Pelbagai perasaan menyelubungiku. Siapa yang merawatku? Adakah orang yang merawatku ikhlas, atau mahu mengambil kesempatan ke atas diriku? aku mahu melarikan diri, namun aku masih terlalu letih. Entah apa nasibku selepas ini, aku pasrah...
Aku terdiam lama setelah menghabiskan kisah yang kedua ini. Kasihan Sarimah... hanya itu yang mampu kuucapkan. Aku tersentak mendengar bunyi jam di dinding bilikku. Sudah pukul 12 tengah malam rupanya. Ah, perutku berbunyi lagi. Alamak, laparnya... buat secawan cokelat panaslah lepastu terus tidur.
Aku menyarungkan tudung di kepala kemudian terus ke dapur. Kali ini, aku sudah tahu di mana letaknya suis lampu dapur dan balang serbuk cokelat. Sedang aku mengacau air cokelat panas di dalam cawan, aku terdengar suara orang terbatuk-batuk berjalan menghampiri dapur. Aku kenal suara itu. Suara Mr. Smith. Kali ini aku tidak bertindak bodoh seperti dulu, aku hanya berlagak tenang mengacau minumanku sedangkan dalam hatiku, hanya tuhan yang tahu. 
“Natasya, belum tidur lagi?” Mr. Smith seolah-olah terkejut melihatku di dapur.
“Belum, saya turun sekejap minum air, sekejap lagi saya naik tidur.” Tanganku masih mengacau minuman di dalam cawan. Mr. Smith menuju ke rak minuman, membuka pintu rak dan mengambil seuncang teh dari bekasnya. Aku bergerak ke tengah dapur, ke hujung meja. Kemudian dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan sehelai daun dari sebuah bekas. Ku lihat seperti daun pudina. Tiba-tiba aku terfikir, teh O panas daun pudina? Entah-entah, Mr.Smith yang buatkan untuk aku haritu. Hatiku tergerak untuk bertanya, tapi aku hanya berdiam diri menghirup minumanku.
 Mr. Smith kini sedang mengacau minumannya. Bau pudina segar menusuk hidungku. Mr. Smith bersandar di kabinet dapur, menghadapku sambil tangannya mengacau minumannya.Alamak...ni yang aku lemah ni... Mr. Smith merenungku yang sedang berpura-pura menghirup minuman dari dalam cawan. Renungannya membuatkan aku menjadi tidak selesa, aku baru tersedar bahawa hanya kami berdua yang belum tidur di dalam rumah ini.
 “Awak nampak sesuai dengan warna kuning lembut,” Mr. Smith memulakan perbualan. Sejujurnya, aku baru berkira-kira untuk bangun dari tempat dudukku dan beredar menuju ke bilikku. Aku terkedu mendengar pujian Mr. Smith. Tidak tahu mahu memberi respon apa.
“Lusa saya akan ke London. Ada urusan perniagaan di sana.” Aku tidak tahu mengapa dia memberitahu aku semua ini. Berdua-duaan bersama Mr. Smith di dapur ini membuatkan aku berasa tidak selesa. You better go now. Nanti ada makhluk ketiga yang mencelah. Suara hatiku berbisik.
 “Err, saya...” belum sempat aku menghabiskan ayatku, Mr.Smith menyampuk menyebabkan aku terdiam.
 “Esok boleh awak temankan saya sarapan?” sekali lagi aku terkedu. Aku tidak tahu apa yang patut kujawab. Maaf, saya tidak makan berdua dengan lelaki yang tiada hubungan dengan saya. Aku berkira-kira untuk menjawab seperti itu. Aku terdiam lama.
“Ada hal yang perlu saya bincangkan dengan awak.” Hal apa pula, aku tak kerja esok, aku cuti.
“Dengan Syerry sekali boleh?” Akhirnya, pertanyaan ini yang terkeluar untuk menjawab pelawaan Mr.Smith. Mr.Smith hanya tersenyum.
“Boleh, kita sarapan di tepi tasik, pukul 8, boleh?”
“Pukul 8?” soalku dengan suara yang agak kuat.
“Kita kena tunggu Nani siapkan Syerry kan?” Aku termalu sendiri mendengar jawapan Mr.Smith.

 “Okay...” Balasku sedikit menunduk. Mr.Smith beredar setelah mendengar persetujuanku. Sebelum melepasi pintu masuk dapur, Mr.Smith berpaling semula, “Natasya,” aku mengangkat wajahku memandangnya, kulihat wajah yang sedang tersenyum,“selamat malam...” aku terpegun mendengar ucapan selamat malam daripadanya. Entah kenapa aku merasakan suaranya seperti muzik. “Err, selamat malam,” teragak-agak aku membalas ucapan itu. Jantungku bagaikan hendak tercabut menahan debaran.

No comments:

Post a Comment