Thursday 21 August 2014

Octavia untuk Iris Bab 9

BAB 9
Seminggu berlalu, Madam sekeluarga belum kembali daripada percutian mereka. Mr. Smith pula sudah meninggalkan Catriona dan kembali ke tempat kerjanya. Hari ini aku berjanji dengan Syifa untuk bertemu di butik mami Suria. Kuala Lumpur... sudah agak lama aku tidak menghidu udara kota. Butik mami Suria terletak di Jalan Bukit Bintang. Aku bertolak awal dari Catriona kerana aku menumpang Judin yang juga mahu ke Kuala Lumpur. Ada dua orang pembantu rumah juga ikut sama, ada yang perlu dibeli kata mereka.
Aku ke Jalan Bukit Bintang dengan menggunakan monorail. Syifa sudah menungguku di Stesen Monorail Bukit Bintang. Dari dalam monorail lagi aku sudah dapat melihat kelibat Syifa yang sedang berjalan mundar-mandir.
“Assalamualaikum saudari, tengah tunggu pakwe ke?” Aku menyapa Syifa dengan nada mengusik sejurus aku keluar daripada monorail.
“Mangkuk kau! Kau cakap nak datang awal. Lama tau aku tunggu sini.” Syifa yang sedang membelakangi aku ketika aku menyapanya berpaling mendengar suaraku seraya menampar bahuku.
“Sakitlah! Kau ni, dah lama tak jumpa aku pun nak marah-marah. Peluklah sikit...” aku mengusap-usap bahuku yang ditampar. Pedih juga rasa tamparan wanita si Syifa ni. Syifa dan aku berpelukan.
“Sorrylah, aku dah bertolak awal tadi, kau ni pun, aku kan dari Cameron Highland, bukannya Setapak, memanglah ambil masa nak datang sini.”
Syifa sudah menarik tangan aku seusai aku meminta maaf. “ Dahlah, jom. Mami dah rindu sangat nak jumpa kau.” Syifa mengajak aku terus ke butik mami Suria. Aku hanya mengikut rentak kaki Syifa.
Mami Suria sedang sibuk melayan seorang wanita ketika aku dan Syifa tiba di butiknya. Syifa mengajak aku terus ke sofa yang memang tersedia di dalam butik tersebut.
“Kau duduk jap ye. Mami mesti tak perasan kita masuk tadi, kalau tak mesti dia dah bising.”
“Alah, takpe, macamlah aku tak biasa dengna korang. Biarlah mami kau layan customer jap. Aku pun nak duduk rehat dulu. Kau pun duduklah dulu, kita borak-borak.” Aku melarang Syifa memanggil mami Suria. Syifa yang sudah bangun kembali duduk di sebelahku.
“Kau nak makan tak? Aku laparlah” Syifa mengusap-usap perutnya sambil mengerutkan wajahnya.
“Aku dah makanlah tadi kat rumah tu.” Balasku pendek.
“Habistu, kau dah taknak makan la ni?” Syifa cuba mengumpanku.
“Aku ni, kalau orang suakan, aku makan, rezeki jangan ditolak.” Dengan muka selamba aku menyambut umpan yang dihulurkan. Syifa beredar ke belakang butik,untuk mengambil makanan barangkali. Mami Suria sudah selesai melayan pelanggan dan kini sedang menuju ke arahku.
 “Tasya sihat?” pendek sapaan mami Suria kepadaku sambil memelukku. Aku membalas pelukkan mami Suria.
“Sihat alhamdulillah, mami Suria sihat? Lama kita tak jumpa kan?” Mami Suria meleraikan pelukkannya tetapi kedua-dua tangannya masih melekat di bahuku.
“Lama sangat. Apa yang Tasya buat kat Cameron Higland tu sampai taknak keluar jenguk mami kat sini. Bertapa ke? Ke dah jumpa buah hati?”Usik mami Suria. Aku tergelak kecil.
“Taklah, mana ada buah hati. Buah-buahan adalah.” Mami Suria mencuit hidungku.
“Merepek je lah kau ni Tasya.” Aku masih tergelak kecil. Bahagia bertemu mami Suria yang menganggapku sebagai anak sendiri. Sekurang-kurangnya, rinduku terhadap mama terubat dengan kemesraan yang mami Suria berikan.
“Si Syifa mana?” mami Suria tertoleh-toleh mencari Syifa.
“Kat belakang kot, ambilkan makanan.” Mami Suria menggelengkan kepalanya. “Korangni, kalau jumpa, asyik makan je. Takde kerja lain. Nasib baik badan tu mantain slim.” Aku cuma tersengih mendengar leteran mami Suria.
“Mami gi belakang jap ye. Syifa tu bukan tau mami letak bekas makanan kat mana tadi. Kalau ada orang datang tolong tengok-tengokkan jap ye.” Aku menganggukkan kepala. Aku memerhatikan mami Suria beredar ke belakang. Kedengaran bunyi loceng di pintu menandakan ada pelanggan yang masuk. Kelihatan seorang wanita separuh umur melangkah masuk ke dalam butik. Aku hanya memerhatikan wanita itu masuk, membiarkan dia membelek pakaian-pakaian yang bergantungan di dalam butik. Aku beredar menuju ke kaunter untuk memudahkan pelanggan itu memanggilku sekiranya dia perlukan apa-apa bantuan. Telahanku tepat, baru sekejap aku berdiri di kaunter, wanita itu menggamitku untuk pergi kepadanya.
“Assalamualaikum, ye puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Wanita itu mengangguk sambil telapak tangan kanannya menyapa bahuku mesra.
“ Waalaikumussalam, makcik nak minta tolong ni, nak minta pendapat sikit, boleh?” aku tersenyum mesra kepada wanita itu.
“Insyaallah makcik, kalau saya boleh tolong, saya tolong. Apa dia makcik?” Wanita itu mengeluarkan sehelai perca kain berwarna putih susu dari dalam beg tangannya.
“Anak dara makcik nak kahwin, ni contoh jenis dan warna kain untuk baju pengantinnya. Baju dah ada, cuma makcik nak cari selendang yang sesuai, nak dipakai waktu akad nikah nanti. Tapi, dah banyak butik makcik cari, semua takde yang berkenan. Anak boleh tolong cadangkan? Kot-kot ada yang sesuai.” Aku mengangguk-angguk mendengar penjelasan wanita itu.
“Boleh makcik, jom saya tunjukkan selendang-selendang yang ada kat sini. Mari makcik, ikut saya.” Aku membawa wanita itu ke bahagian selendang. Selang beberapa minit aku membantu wanita itu memilih selendang, mami Suria dan Syifa muncul dari belakang. Mami Suria menyuruh aku duduk tetapi aku menolak, “ takpe mami, Tasya tolong puan ni jap, mami duduklah rehat-rehat dulu, alah, macamlah Tasya tak biasa, bukannya kerja buruh pun. Mami gi lah duduk dulu.” Aku meminta mami Suria untuk membiarkan aku melayan pelanggan. Mami Suria akur dengan permintaanku kemudian terus beredar menuju ke sofa.
“Ibu ke?” soal wanita itu setelah mami berada agak jauh dari kami.
“Eh, taklah, ibu kawan saya, butik ni pun milik dia juga, saya cuma datang melawat je, tapi, saya dah biasa pun tolong-tolong kat butik ni.” Aku tersenyum menjawab soalan itu.
“Anak ni, memang suka senyum  ye? Dari tadi makcik tengok, tak lekang bibir tu sedekah senyuman.” Aku tergelak kecil mendengar pujian itu.
“Nikmat Allah bagi, makcik, selagi boleh senyum, kita senyum, orang lain pun tak kata kita sombong.” Aku beramah mesra dengan wanita itu. Wanita itu turut  tersenyum mendengar jawapanku. Setelah beberapa ketika, tangan wanita itu berhenti membelek helaian-helaian selendang yang tersusun di bahagian selendang. Aku juga sudah putus asa mencari.
“Nampaknya, saya tak jumpa selendang yang sesuai untuk baju dan kain jenis ni lah, makcik.” Wanita itu mempamerkan wajah yang sedikit kecewa.
“Takpelah nak, terima kasih ye. Maaflah, ambil masa anak pula nak layan makcik,” Aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak susahlah makcik, nanti senang-senang, datang sini lagi ye, insyaallah, nanti, kat tempat lain kot makcik jumpa selendang yang sesuai.” Wanita itu mengangguk sekali seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Aku menyambut huluran tangannya itu.
“Makcik pergi dululah ye, assalamualaikum...” aku menjawab salamnya dan menghantarnya ke pintu butik. Syifa sedang membuka bekas makanan ketika aku berpaling menghadapnya.
“Wah, first class kau bagi customer tu, aku pun tak layan customer macam tu tau.” Usik Syifa. Aku menampar peha Syifa.
“Bak sini sikit kuih tu, aku nak juga.” Syifa menghulurkan bekas makanan kepadaku.
“Jom kita gi KLCC lepasni, aku nak beli buku kat Kinokuniya lah.” Aku tersedak mendengar cadangan Syifa itu.
“Jauhnya kau nak beli buku! Dekat-dekat sini tak boleh ke?” Syifa mencebikkan bibir bawahnya.
“Boring. Hari-hari aku datang sini, nak pergi tempat lain pula. Alah, jomlah.” Aku mengherotkan bibirku sambil mempamerkan wajah yang tidak berpuas hati.
“Yelah, kau bos. Aku ikut je.”
“Ha! Macamtulah... Lepas makan kita gerak ye.” Syifa mencuit hidungku.
“Woit! Minyaklah!” Syifa hanya tergelak.
*****
“ Syifa, aku kat rak depan tu ye. Yang kat bahagian garden tu.”  Syifa mengangguk. Aku membiarkan Syifa hanyut dalam dunia bukunya sendiri. Ramainya manusia kat Kinokuniya harini.Aku menuju ke rak hadapan, mencapai sebuah buku tentang dekorasi taman ala Jepun kemudian membelek muka suratnya satu persatu. Ada juga beberapa orang di lorong rak ini, masing-masing membelek buku tentang dekorasi taman sepertiku.
Tiba-tiba mataku terarah kepada gelagat seorang remaja lelaki, tangan kanannya cuba mengambil dompet  yang kelihatannya seperuh terkeluar daripada beg seorang wanita yang berdiri di sebelahnya. Gerak gerinya terlalu pantas sehinggakan aku tidak mampu untuk berfikir tentang apakah tindakkan yang harus aku ambil. Tasya! Jerit! Panggil security! Ah. Aku masih kaku di sini, mungkin kerana ini kali pertama aku melihat kejadian seperti ini. Aku akui, aku seorang yang berdarah gemuruh.
Akhirnya setelah remaja itu beredar beberapa langkah ke hadapan, aku mengambil keputusan untuk mengekorinya dengan pantas tetapi senyap. Remaja itu sudah menghampiri pintu keluar. Mujurlah ada pengawal keselamatan yang berdiri di pintu itu. mungkin kerana tidak mahu kelihatan meragukan, remaja itu memperlahankan langkah kakinya ketika menghampiri pintu keluar. Entah semangat apa yang merasukku, belum sempat remaja itu melangkah melepasi pintu keluar, aku berjaya menarik kolar bajunya. “ Eh, apa ni! Lepaslah!” Lantang sergahan remaja itu kepadaku.
Suara remaja itu menarik perhatian beberapa orang di sekitar kami termasuklah pengawal keselamatan di situ. Mujurlah pengawal keselamatan itu segera ke tempat kami kerana remaja itu sudah mula meronta-ronta. “ Kenapa ni cik?” Soal pengawal itu.
“Saya cuma nak cek, saya nampak budak ni ambil dompet orang tadi.” Pengawal itu mengalihkan pandangannya kepada remaja itu.
 “Mana ada! Gila apa perempuan ni. Main tuduh-tuduh je!” Dia menafikan tuduhanku.
“Adik, bagi sini beg adik, saya nak cek.” Tegas suara pengawal itu meminta remaja itu menyerahkan beg galasnya.
“Eh, mana boleh cek beg orang suka-suka hati!” Remaja itu enggan menyerahkan begnya.
“Adik, kalau adik tak salah, tak perlu risau orang nak cek beg adik.” Aku berang dengan remaja tersebut. Peganganku di kolar bajunya sudahku lepaskan, mujurlah dia tidak melarikan diri. Takut barangkali. Remaja itu teragak-agak menyerahkan begnya kepada pengawal tersebut. Setelah beberapa ketika menyelongkar beg itu, pengawal itu mengeluarkan tiga buah dompet berlainan warna. Kulihat semuanya merupakan dompet wanita. Wajah remaja itu berubah pucat.
Pengawal itu mencengkam kedua-dua tangan remaja itu. “Takde kerja lain ke hah!” Sergah pengawal itu. Bahuku sedikit terangkat, terkejut mendengar sergahan itu. “Cik, takpe, budakni biar saya uruskan. Cik tolong serahkan dompet-dompetni kat kaunter, kot-kot tuan punya barang-barangni ada kat sini.” Aku menganggukkan kepalaku sekali. “ Err, encik jangan kasar sangat ye, dia budak lagi,” entah kenapa perasaan simpati bertandang dalam hatiku apabila melihat remaja itu seperti mahu menangis. “ Cik jangan risau, tahulah saya nak uruskan macam mana.” Aku mengangguk lagi. Aku beredar ke kaunter juruwang. Aku tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana kejadian yang berlaku itu telah disaksikan oleh orang-orang yang berhampiran, termasuk pekerja yang bertugas di kaunter.
“Pantas tindakan saudari? Macam superwoman.” Aku menoleh untuk melihat tuan punya suara itu. Seorang pemuda berdiri di belakangku, mungkin baru lepas membayar buku-buku yang dibelinya di kaunter. Aku tersenyum sedikit mendengar pujian yang kedengaran sedikit kelakar itu.
 “Kebetulan saya yang ternampak budak tu. Sesiapapun akan buat macam saya.” Aku merendah diri membalas pujian yang diberikan.
“Cuba saudari cek kad pengenalan dalam dompet tu, kot-kot tuan punya dia ada di sini?” dia memuncungkan mulutnya kepada dompet berjenama Prada yang berada di tanganku.
“ Eh, takpelah, bukan hak saya untuk memeriksa dompet ni. Biarlah tuan punya dompet ni datang sini dulu.”  Aku menolak cadangan itu.
“ Eh, itu dompet makcik tu.” Seorang wanita bersuara di sebelahku. Entah bila dia muncul di sebelahku.
“Anak yang jumpa ye? Tercicir kot tadi.” Tanpa meminta, wanita itu mengambil dompetnya dari tanganku kemudian terus membukanya.
“Ni MyKad makcik, betul kan, dompet makcik?” Makcik itu menghulurkan kad pengenalannya kepadaku untuk memberi kepastian kepadaku.
Belum sempat aku berkata apa-apa, “Eh. Ni, anak yang makcik jumpa kat butik tadi kan? Ingat tak? Makcik yang tanya pasal selendang nikah tu?” La...patutlah aku rasa macam familiar je muka makcik ni tadi.
“ Makcik ke... maaflah saya tak perasan tadi, saya ni susah sikit nak cam orang.” Aku tersipu-sipu sambil tersengih.
“Ehem.” Pemuda yang menegurku tadi berdehem.
“Hah, Haris! Kamu pergi mana? Puas ibu call tadi.” Ibu?
“Ibu, dompet ibu tu, bukan tercicir, tapi, kena copet. Nasib baik ada superwoman kat sebelah ibu ni hah, she’s the one yang tangkap pencopet tu. Ibu ni, lain kali hati-hatilah sikit.” Panas telingaku mendengar kalimah superwoman itu. Macam superhero je.
“Oh. Yeke! Terima kasih banyak ye nak ye, eh, makcik nak bayar jap, dompet dah jumpa ni, tunggu makcik jap ye.” Aku tidak bersuara, cuma mengangguk dan tersenyum. Wanita itu beredar ke troli buku sebelah kaunter, mahu mengambil buku yang mahu dibelinya barangkali. Aku mengalihkan mataku kepada pemuda itu.
 “My mother. Dompet itu, saya yang belikan. Limited edition, dari London.” Dia seperti tahu yang aku mahu menyoal tentang wanita itu. Patutlah yakin je suruh cek kad pengenalan tadi.
I’m Haris, by the way.” Dia menghulurkan salam perkenalan kepadaku.
“Err, Encik Haris, saya rasa, ibu Encik Haris perlukan bantuan, banyak buku kat kaunter tu,” aku mengelak huluran tangan kanannya dengan memuncungkan bibir kepada ibunya yang sedang terkial-kial mengangkat buku-buku yang dibelinya di kaunter bayaran.
“Haris! Tolong ibu jap!” kebetulan, tepat pada masanya, ibu pemuda yang bernama Haris itu memanggilnya untuk mengangkat buku-buku di kaunter. Haris menarik semula tangan kanannya dan memasukkannya ke dalam poket seluarnya.
Alright, alright.” Rungutnya sambil menuju ke arah ibunya. Aku menarik nafas lega kerana tidak perlu memikirkan cara untuk menolak huluran tangan daripada Haris. Aku mengambil keputusan untuk beredar dari kaunter itu sebelum mereka kembali kepadaku. Tiba-tiba aku teringat kepada Syifa. Mana minah ni? Apsal  tak nampak-nampak batang hidung ni? Sedang aku terjungkit-jungkit mencari Syifa, kurasa bahuku ditepuk dari belakang.
“Aku kat sini lah, aku nampak apa yang berlaku tadi. Sape nama mamat yang sembang dengan kau tadi tu? Boleh tahan juga.” Aku mencubit lengan Syifa.
“Kau dah jumpa belum buku yang kau nak beli? Gi lah bayar cepat, aku dah lapar ni.” Tanpa membalas pertanyaan Syifa, aku menyuruhnya membayar buku di kaunter.
“Yelah, nak pergi lah ni, asyik makan je.” Syifa memuncungkan mulutnya setelah gagal mengorek cerita daripadaku. Aku menunggu Syifa di rak buku-buku agama sambil membelek-belek buku-buku yang ada di situ.
 “Awak memang suka buat aksi macam dalam filem ya?” Satu suara lagi menegurku tanpa sempat kulihat wajah si empunya suara. Kenapa harini semua orang nak tegur aku dari belakang? Dah tak reti nak bagi salam ke? Dalam diam aku merungut di dalam hati. Aku berpaling ke belakang. Mr. Smith!
“Err, Mr. Smith, buat apa kat sini?” Mr. Smith sedang sibuk membaca sinopsis sebuah bukuketika aku berpaling kepadanya. Cuma kami berdua di rak buku itu. Jarak antara aku dan Mr. Smith hanya dua langkah kecil orang dewasa. Aku menjauhkan sedikit diriku ke hujung rak buku.
“Saya nampak awak tadi. Sama macam masa awak ingat saya pencuri, agak terburu-buru mengejar budak tu sampai kaki saya awak pijak pun awak tak perasan.” Aku terkejut. Pijak kaki? Bila?
 “Err, saya ada pijak kaki Mr. Smith ke tadi? Saya tak perasan pun, err, saya minta maaf...saya betul-betul tak perasan, tak sengaja.” Mr. Smith tersenyum. Mungkin lucu dengan gelagatku yang menggelabah. Tapi, wajahnya tetap tidak memandangku.
“ Awak pernah baca buku ni?”Dia menunjukkan kulit buku yang sedang dipegangnya. Buku tulisan Karen Armstrong. Aku menggelengkan kepalaku sekali.
“Buku yang bagus. Saya rasa saya nak beli buku ni.” Mr. Smith beredar selepas menuturkan kata-kata itu, tanpa memandangku walau sedikitpun. Aku ni tunggul ke? Kenapa dia suka sangat tak menjawab setiap soalanku? Aku melangkah menuju ke kaunter untuk bersama Syifa. Malas menunggu lama-lama di rak itu, entah makhluk jenis apa pula yang muncul kalau aku menunggu lebih lama di situ.




No comments:

Post a Comment