BAB 7
Hari ini hari Isnin dan aku perlu bekerja
seperti biasa. Aku kini berada di Ratna’s Nursery untuk menguruskan hal
tempahan bunga yang Madam tugaskan kepadaku sebelum dia pergi bercuti. Selepas
selesai menguruskan hal tempahan bunga di sini aku bercadang untuk berehat
sebentar di Ratna’s Cafe. Lagipun, semua rekod yang perlu aku susun sudah aku
siapkan semalam. Aku semakin suka dengan kerja aku sebagai pengurus rumah.
Madam memberi kebebasan sepenuhnya kepadaku untuk menyiapkan kerjaku pada
bila-bila masa, yang penting, kerja yang dijadualkan siap pada hari tersebut
siap, dan aku bolehlah melakukan hal aku sendiri selepas itu.
Aku menuju ke Ratna’s Cafe yang juga terletak
di dalam Ratna’s Nursery. Pengunjung yang datang pada hari ini agak ramai, aku
memilih untuk duduk di penjuru kafe ini yang berhadapan dengan pemandangan
ladang teh Cameron Highland yang luas. Aku membuka email pada laptop yang
kubawa bersamaku. Ada tiga email yang baru kuterima. Dua daripada mama dan satu
daripada Syifa.
From : mamaaina@yahoo.com
To : tasyagirl@yahoo.com
Subject : Miss you so much.
Assalamualaikum sayang, mama harap Tasya
gembira di sana. Mama baru balik dari Egypt dengan papa Hakim. Setakatni, mama
dan papa Hakim dah melancong ke China, Paris, Egypt, Afrika, dan Korea (
aneyoseyo!). Penat memang penat sebab jarak antara kesemua negara-negara tu
bukannya dekat. Tapi mama happy dan puas. Oh! Lupa nak bagitahu, papa Hakim dah
bawa mama pergi umrah. Alhamdulillah, mama gembira sangat-sangat. Tasya macam
mana? Masih belum berbaik dengan daddy? Mama taknak komen apa-apa dengan
pilihan Tasya. Mama faham sangat dengan perangai daddy. Walau apapun, mama
harap dan doakan Tasya sentiasa diberi petunjuk Allah dalam setiap apa yang
Tasya lakukan. Kalau Tasya dah boring duduk kat Malaysia, Tasya bagitahulah
mama. Nanti mama bagitahu papa Hakim, Tasya boleh tinggal di sini dengan kami.
Mama minta maaf sebab tidak dapat bersama-sama dengan Tasya menghadapi masalah
Tasya dengan daddy. Tasya pun tahu kan, mama jadi kelu lidah bila bercakap
dengan daddy. Mama minta maaf sebab tidak dapat tolong Tasya. Tapi, Tasya boleh
datang London bila-bila masa je. Ok, mama stop sini dulu, bye sayang. Jangan
lupa balas email mama tau. Wassalam.
p/s esok mama dan papa nak pergi ziarah Kak
Long, rumah dia dekat je.
Aku membuka email kedua daripada mama.
Subject : Kakak dah dapat Ph.D!
Assalamualaikum. Tasya! Mama baru balik dari
rumah Kak Long. Kakak baru dapat Ph.D. alhamdulillah... Jangan lupa balas email
mama. Bye sayang.
Ah. Mama dan Kak Long sangat beruntung. Berada jauh
daripada segala masalah di Malaysia. Terdetik perasaan cemburu di hatiku.
Biarlah, mungkin masalah dengan daddy adalah ujian kecil daripada Allah buatku.
Aku menekan kekunci keyboard untuk membalas email mama.
From : tasyagirl@yahoo.com
To : mamaaina@yahoo.com
Subject : Tahniah!
Salam. Hai mama. Jealous Tasya baca email
mama. Ucapkan tahniah pada kakak ye. Patutlah jarang email Tasya, orang tengah
sibuk kejar gelaran doktor rupanya. Dah jadi doktor pun... Tasya takde cerita
apa-apa nak bagitahu, nanti bila ada cerita, Tasya email panjang-panjang kat
mama ye. Bye mama.
p/s Tasya dah jumpa majikan mat salleh Tasya.
Tapi, tak pernah tengok wajah dia dengan jelas.
Ok, sekarang, buka email Syifa pula.
From : ayusyifa@yahoo.com
To : tasyagirl@yahoo.com
Subject : Aku merajuk denganmu!
Oit! Bila ko nak cuti? Rindu kat ko. Jomlah
jumpa... dah lama tak lepak sama-sama. Bye. Reply A.S.A.P.
Aku tersenyum membaca email Syifa.
From : tasyagirl@yahoo.com
To : ayusyifa@yahoo.com
Subject : Jangan merajuk, nanti tak lawa.
Minggu ni, hari Ahad aku cuti. Nanti aku jumpa
ko kat butik mami ko okay... Tunggu aku yek.
Pendek sahaja balasan emailku kepada Syifa. Aku mematikan
laptopku sambil menghirup nescafe o panas yang baru tiba di mejaku sebentar
tadi. Allah... rindunya aku kepada mama. Bila agaknya aku boleh bertemu dengan
mama lagi. Silap aku juga, terlalu sayangkan Malaysia sehinggakan sanggup
menolak ajakan mama ke London untuk tinggal bersama dengan keluarga barunya.
Aku merenung jauh ke pemandangan kebun teh
yang luas di hadapanku. Fikiranku pada ketika ini kosong. Agaknya, beginilah
keadaan minda Syerry ketika merenung ke luar jendela biliknya setiap hari. Aku
tidak pasti berapa lama masa yang telah ku habiskan menikmati pemandangan kebun
teh yang luas itu. Kedamaian yang hadir seolah-olah seperti ubat penenang
bagiku. Indahnya ciptaan-Mu ya Allah. Aku mengalihkan pandanganku ke dalam
kafe. Kelihatan beberapa orang pelanggan baru memenuhi ruangan tengah kafe ini.
Aku terasa seperti sedang diperhatikan seseorang.
Mataku meneliti seseorang di meja pada penjuru
kafe yang bertentangan dengan tempat dudukku. Walaupun jarak meja antara kami
berdua agak jauh, tetapi aku masih boleh melihat dengan jelas susuk tubuh serta
wajah orang yang merenungku. Mr. Smith. Apa dia buat kat sini? Cepat-cepat aku
menundukkan wajahku ke meja. Berpura-pura melihat menu yang memang disediakan
di atas meja kafe ini. Wajahku terasa panas. Serba salah aku dibuatnya. Mr.
Smith ni mengekori aku ke? Macam mana dia boleh berada di dalam kafe yang sama
denganku? Aku memberanikan diri mengangkat wajahku melihat ke arah Mr. Smith.
Hatiku berdetik lega. Dia sudah tidak merenungku seperti tadi. Kelihatan
tangannya sibuk menekan keyboard pada laptop yang berada di hadapannya.
Lagaknya seperti seorang perisik yang sedang melaporkan keadaan suspek kepada
tuannya. Aku lah suspek itu! Aku mengambil kesempatan untuk beredar dari
situ sebelum Mr.Smith menyambung semula misinya merenungku.
Aku belum meminta maaf secara berdepan dengan
Mr. Smith kerana setiap kali aku berniat untuk menemui Mr. Smith, aku
seringkali teringatkan renungannya yang tajam itu. Mengingatkan renungan sahaja
sudah cukup untuk membuatkan hasratku itu terbantut. Setelah selesai membayar
bil, aku mengemaskan barang-barangku dan beredar dari tempat dudukku. Aku
merasakan Mr. Smith kembali merenungku ketika aku melangkah keluar dari Ratna’s
Cafe.
No comments:
Post a Comment