Thursday 21 August 2014

Octavia untuk Iris Bab 12

BAB 12
Selesai makan malam, aku ke bilik Syerry, cadang-cadangnya untuk berbual-bual dengan Syerry. Seperti biasa, pintu bilik Syerry terbuka sedikit, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk melawatnya. Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Syerry duduk di tempat biasa sambil merenung jauh ke luar, memerhatikan kegelapan malam. Aku berjalan menghampiri Syerry. sudah dua hari aku tidak menjenguk Syerry di biliknya. Rambutnya kelihatan mengurai lurus. Bersikat, tapi tidak berdandan kemas. Ku lihat pencucuk sanggul yang kuhadiahkan kepada Syerry terletak di atas meja solek.
“ Syerry, saya sanggulkan rambut Syerry ya? Nanti Syerry nak tidur saya bukakan ya?” tanpa menunggu apa-apa reaksi daripada Syerry, aku menuju ke meja solek untuk mengambil pencucuk sanggul itu.  Entah macam mana pencucuk sanggul itu terlepas dari tanganku dan terjatuh ke bawah meja solek. Aku melutut untuk mengambil pencucuk sanggul itu. sedang aku sibuk meraba-raba di bawah meja solek, aku terpegang sesuatu seperti kertas terkeluar daripada satu bahagian seperti laci yang tersembunyi di bawah meja solek kepunyaan Syerry.
“Eh, apa ni?” Perasaan ingin tahu membuak-buak dalam diriku. Aku membongkokkan diriku supaya lebih rapat ke lantai untuk memudahkan aku mengambil kertas itu. Rupa-rupanya kertas itu tersekat pada sesuatu. Aku cuba untuk mengalihkan benda yang menyekat kertas itu. Ada sebuah tombol kecil pada bawah meja solek itu, di tempat kertas itu tersekat. Tombol itu ku tarik ke bawah. Sebuah buku sebesar dua tapak tangan terkeluar dari laci itu. Kertas yang tersekat pada laci itu sebentar tadi merupakan sebahagian daripada buku itu. Aku mengambil buku itu, kelihatannya buku itu seperti sudah lama tidak digunakan, berwarna hitam tetapi sudah semakin pudar. Aku menyelak helaian pertama pada buku tersebut. Di bawah sebelah kanan pada mukasurat pertama buku itu ada tercatat sebuah nama yang belum pernah kudengar disebut di rumah ini sebelum ini. Sarimah. Di bawah nama Sarimah ada tercatat empat angka yang berlainan. Ku kira angka itu mewakili tahun. 1974. Hmm...34 tahun yang lepas. Aku menyelak helaian yang seterusnya. Tulisan Jawi. Mujur aku boleh membaca tulisan Jawi. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke kerusi kecil di hadapan Syerry sambil membaca tulisan pada helaian tersebut dengan suara perlahan. Memang tabiatku, kadang-kadang aku lebih gemar membaca dengan suara yang perlahan. Bacaanku pada helaian itu lancar, seolah-olah aku membaca tulisan rumi.
Semalam rumah agam di atas bukit menerima penghuni baru. Ahh...selepas ini, aku sudah tidak boleh bemain buaian di hadapan rumah itu. Che Tom kata, penghuni rumah itu sepasang suami isteri. Suami orang putih. Isteri orang Filipina. Entah apa tujuan mereka menetap di Malaysia. Aku sedih. Mana lagi tempat untuk aku melarikan diri dari ibu dan abang Daim. Pagi tadi, ibu marah lagi, entah apa lagi silapku di matanya. Habis lebam tubuhku dikerjakan. Bapak tidak pernah membelaku. Dia hanya melihat sahaja tubuhku dikerjakan ibu. Ibu kata aku degil, suka merayau, suka pecahkan pasu mahal ibu, suka curi barang kemas ibu, bapak percaya bulat-bulat. Aku tahu, abang Daim yang curi. Aku tidak berani bagitahu bapak yang abang Daim curi. Aku takut ibu mengamuk lagi. Dulu pernah abang Daim masuk bilik aku tengah-tengah malam, katanya mahu temankan aku tidur. Aku menjerit. Aku tahu abang Daim berniat jahat kepadaku. Aku tahu walaupun aku masih terlalu mentah. Mujur abang Daim tidak sempat berbuat apa-apa terhadapku. Dia keluar setelah terdengar bunyi tapak kaki menuju ke bilikku. Aku tahu, itu Che Tom.  Tapi, esok pagi, habis tubuhku lebam ibu kerjakan. Abang Daim cerita pada ibu yang aku ada menggodanya. Abang Daim dendam barangkali.  Aku tidak mampu bela diri... bapak hanya diam sambil membaca surat khabar. Aku rindukan emak...
Sampai di sini, bacaanku terhenti. Pelbagai persoalan menerjah fikiranku. Siapa Sarimah dan watak-watak lain dalam tulisan ini? Buku ini seperti sebuah diari. Dari mukasurat pertama sehingga ke mukasurat terakhir ianya ditulis, semuanya bagaikan sebuah diari, semuanya sarat dengan kisah hidup penulisnya. Diari Sarimah barangkali. Tapi, siapa Sarimah?
Sedang aku khusyuk memikirkan diari ini, tiba-tiba Syerry berdiri menuju ke katil. Aku hanya memerhatikan Syerry. Syerry baring di atas katilnya kemudian terus melelapkan matanya. Aku hanya diam di tempat dudukku sambil memerhatikan Syerry yang sedang tidur. Pandai pula tidur sendiri. Selang beberapa minit kemudian, Nani masuk ke bilik Syerry. “ Eh, akak ada. Saya ingatkan siapa tadi. Err, akak nak duduk kat sini lama lagi ke?” Aku menggelengkan kepala sambil bangkit berdiri. “Saya nak keluar dah ni.” Sejurus kemudian aku melangkah ke muka pintu. Sempat aku melihat Nani menyelimutkan Syerry dan memasang lampu malap buat Syerry. Diari Sarimah masih berada di tanganku. 


No comments:

Post a Comment